Antara kali pertama Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin memberi respon kepada isu 1MDB adalah pada Julai 2015. Ini apa yang beliau katanya dulu:
Sekarang, hampir 2 tahun kemudian, kita nampak yang tidak banyak di dalam negara yang telah berubah berkisar skandal mega 1MDB; pasukan khas tersebut masih belum menerbitkan apa-apa laporan untuk tatapan umum, dan Perdana Menteri DS Najib Razak masih belum saman Wall Street Journal.
Belum ada sesiapa yang telah dipertanggungjawab, belum ada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah di Malaysia, dan kita masih belum dapat dapat mengesahkan atau menidakkan fakta-fakta yang didakwa dalam laporan WSJ dulu – tambahan pula dakwaan terkini yang terkandung di dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat – walaupun dua tahun sudah berlalu. Hampir kesemua media dalam negara tidak berani mengangkat suara-suara bukan kerajaan dalam hal ini, terutama selepas The Malaysian Insider dan akhbar The Edge digam. Soalan-soalan berkaitan 1MDB tidak dibenarkan dalam Parlimen. Mereka yang didapati membuat tuduhan di dalam media sosial bakal disaman (walaupun kita masih belum mendengar sama ada pihak tertentu itu telah menyaman atau tidak).
Adakah ini rupa masa depan demokrasi di Malaysia?
Pada ketika sdr Khairy berjalan ke sana ke mari, sama ada mengadakan pertemuan TN50 mahupun membawa obor Sukan SEA, beliau diam seribu bahasa dalam soal saman sivil terkini DoJ yang mahu merampas semula aset bernilai USD1.7 bilion yang didakwa dibeli menggunakan duit yang diseleweng dari 1MDB dan diubah secara haram melalui sistem kewangan dan bank-bank di AS. Diamnya Khairy dalam isu ini kali ini membuktikan beliau mempunyai keupayaan kepemimpinan yang lemah ataupun beliau sengaja menjauhkan diri dari ‘malapetaka politik’ 1MDB-DoJ ini. Ini lebih jelas bila kita bandingkan diamnya Khairy berbanding kelantangan sesetengah menteri mempertahan DS Najib.
Realitinya adalah 1MDB – dan khususnya cara pengendalian krisis ini oleh pentadbiran DS Najib – telah mendatangkan kemudaratan kepada anak muda dan masa depan negara. Rata-rata rakyat Malaysia melangkaui batas kaum dan sosio-ekonomi melalui kajiselidik telah berkata bahawa isu rasuah dan ekonomi merupakan dua perkara paling penting buat mereka, dan cara krisis 1MDB ini dikendali tidak menaikkan semangat rakyat.
Saya tak pasti sama ada Putrajaya sedar apabila pihak media melaporkan bahawa, di dalam kes terkini yang difail DoJ, Jho Low didakwa membeli berlian merah jambu bernilai USD27.3 juta (~RM116 juta) untuk DS Rosmah Mansor, jumlah yang maha besar ini jauh mengatasi kemampuan membeli 95% rakyat Malaysia, terutama di kalangan anak muda. Cuba bayangkan, jika seorang graduan berusia 21 tahun mempunyai pendapatan RM2,300 setahun dengan kenaikan gaji 10% setahun, menabung 15% gaji setahun, DAN dapat terus bekerja selama 50 tahun, dia masih memerlukan RM110 juta ketika mencecah umur 71 tahun untuk membeli berlian merah jambu itu pada harga yang didakwa dibayar oleh Jho Low.
Dengan kata lain, dakwaan-dakwaan yang dibuat berkenaan skandal mega 1MDB begitu mengejutkan dan jumlah wang yang didakwa terlibat begitu besar hinggakan ianya cukup jauh dan terasing dari realiti rakyat Malaysia, sehingga nak tak nak kita terpaksa bertanya: Duit siapa yang diguna? Halal ke haram ni? Kenapa masih belum ada apa-apa tindakan sama ada siasatan mahupun pendakwaan di mahkamah di Malaysia dalam isu ini?
Inilah sebabnya saya ingin mencadangkan siri pertemuan rakyat diadakan selepas Raya khusus untuk bercakap tentang isu 1MDB, dakwaan DoJ, dan masa depan demokrasi di Malaysia.
Saya percaya sdr Khairy tidak berani melakukan ini, atau beliau mungkin akan berdolak-dalih dengan pelbagai alasan politik lain. Diamnya Khairy dalam isu DoJ terkini ini jelas menunjukkan perwatakan beliau.
Apa pun, negara dan masa depan kita tidak harus menjadi kebimbangan hanya satu belah atau satu pihak. Ini negara kita, masa depan kita, dan sebab itulah kita perlu bangkit bersama.
Boleh tak?
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
21 Jun 2017