Selepas 62 Hari Menjadi Ketua Audit Negara, Dr Madinah Perlu Berani Nasihat Najib untuk Deklasifikasi dan Dedahkan Laporan Audit 1MDB

KENYATAAN MEDIA

Selepas 62 Hari Menjadi Ketua Audit Negara, Dr Madinah Perlu Berani Nasihat Najib untuk Deklasifikasi dan Dedahkan Laporan Audit 1MDB

Saya ingin ucapkan tahniah kepada TS Dr Madinah Mohamad yang hari ini, pada hari ke-62 sejak beliau dilantik sebagai Ketua Audit Negara Februari lalu, telah buat pertama kalinya berdepan dengan media.

Namun saya dan orang ramai kecewa apabila beliau enggan menjawab sebarang pertanyaan oleh pihak media mengenai status Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB. Keengganan beliau untuk memberikan respon ini bukanlah suatu yang positif.

Malah dengan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak baru-baru ini bahawa kesemua hutang jangkamasa pendek 1MDB telah dibayar balik, serta isu hutang 1MDB kepada IPIC yang dikatakan hampir selesai, orang ramai berhak mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai pengurusan 1MDB seperti yang terkandung di dalam laporan tersebut untuk mengesahkan kenyataan-kenyataan yang telah dibuat itu.

Oleh itu, walaupun TS Dr Madinah masih seorang anggota UMNO Kepong dan suami beliau masih memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kepong, TS Dr Madinah wajib mencari keberanian untuk menasihatkan Dato’ Sri Najib Razak agar mendeklasifikasi dan mendedahkan laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB ini. Dan saya harap orang ramai akan dapat membaca laporan tersebut sebelum hari ke-100 TS Dr Madinah memegang jawatan Ketua Audit Negara.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua AMK

25 April 2017