KENYATAAN MEDIA
Perkahwinan Antara Perogol dan Mangsa: Kaukus Ahli Parlimen Wanita dan NGO Wanita Harus Sekolahkan YB Tasek Gelugor
Dalam perbahasan cadangan YB Kulai untuk meminda Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur, YB Tasek Gelugor telah dilaporkan berkata bahawa:
“Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.”
Pemikiran dan pandangan sebegini bukanlah mencadangkan penyelesaian atau remedi kepada permasalahan asas, iaitu hak asasi wanita untuk mendapat perlindungan secukupnya dari keganasan seksual termasuk keganasan rogol.
Sebagai penggubal undang-undang, YB Tasek Gelugor wajib mendapatkan maklumat dan fakta yang lebih mendalam. Malah kenyataan beliau itu menunjukkan beliau gagal memahami isu, iaitu keganasan terhadap wanita dan perempuan.
Mengikut jawapan parlimen kepada soalan yang ditanya YB Batu Kawan pada 2016, terdapat 37,263 kes rogol yang dilaporkan di antara 2000 dan 2015, atau 2,484 kes setahun. Ini bermakna secara purata terdapat 6 kes rogol yang dilaporkan setiap hari! Yang paling mengejutkan ialah lebih daripada separuh kes-kes rogol ini melibatkan mangsa kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. Hal ini pasti mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak yang menjadi masa depan negara.
Sebagai seorang lelaki, suami, bapa, pemimpin dan penggubal undang-undang, apakah YB Tasek Gelugor tidak prihatin dan sensitif terhadap fakta-fakta ini?
Adakah cadangan beliau itu boleh menjamin insiden jenayah rogol secara khusus akan berkurangan? Malah adakah YB Tasek Gelugor boleh memberi sebarang fakta atau statistik untuk menunjukkan jenayah rogol dalam perkahwinan – jika diambil takrifan Seksyen 375A Kanun Keseksaan – mampu dicegah dengan cadangan beliau ini?
Jelas tidak kerana, pertama, perkahwinan di antara perogol dan mangsa tidak menjadi penghalang (“deterrent”) kejadian jenayah rogol yang lain daripada berlaku.
Dan kedua, perkahwinan di antara perogol dan mangsa tidak dapat menjamin keganasan rumah tangga terhadap mangsa rogol, terutama yang berbentuk rogol dalam perkahwinan, tidak akan berlaku.
Oleh yang demikian, saya menyarankan agar YB Tasek Gelugor dan mereka yang sefahaman dengan beliau dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen terutama UMNO-BN disekolahkan Kaukus Ahli Parlimen Wanita dan NGO-NGO seperti WAO, AWAM dan lain-lain berkenaan isu ini.
Seharusnya pandangan seperti yang diutarakan YB Tasek Gelugor ini perlu berubah, lebih-lebih lagi dikalangan Ahli Parlimen. Jika beliau enggan berubah, menjelang PRU14 pengundi-pengundi wanita terutama di Tasek Gelugor perlu memberi mesej yang jelas bahawa pimpinan sebegini tidak boleh diterima!
Fahmi Fadzil
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Pengarah Komunikasi KEADILAN
5 April 2017