Pendakwaan Razak Baginda di Perancis: SPRM Perlu Siasat Pembelian Kapal Selam Scorpene

KENYATAAN MEDIA

SPRM Perlu Siasat Isu Pembelian Kapal Selam Scorpene

18 Julai yang lalu, Abdul Razak Baginda telah dihadapkan ke mahkamah di Perancis kerana didakwa terlibat dalam “persubahatan secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat” dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002 bernilai RM5.06 bilion.

Pendakwaan ini cukup besar, memandangkan Abdul Razak Baginda pernah secara terbuka sebelum ini menafikan bahawa beliau menerima sogokan bernilai €30 juta.

Oleh yang demikian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan ke atas Abdul Razak Baginda serta mana-mana individu lain yang berkait dengan isu pembelian 2 kapal selam tersebut, termasuk Dato' Sri Najib Razak yang merupakan Menteri Pertahanan pada ketika pembelian tersebut dibuat. Dan jika didapati sebarang elemen rasuah, mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke mahkamah.

Rakyat Malaysia tidak mahu melihat satu lagi kes "ala 1MDB" di mana siasatan dan pendakwaan berlaku di pelbagai negara lain berkait dakwaan penyelewengan wang 1MDB, tetapi tiada langsung sebarang pendakwaan di Malaysia. Sudahlah!

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

1 Ogos 2017