Larang Kapcai Masuk KL Bukti Dasar BN Membebankan Rakyat

KENYATAAN MEDIA

Larang Kapcai Masuk KL Bukti Dasar BN Membebankan Rakyat

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, yang berkata motosikal “kapcai” (antara 50 dan 150 cc) mungkin dilarang memasuki Kuala Lumpur untuk mengurangkan pelepasan karbon adalah bukti terbaharu dasar-dasar UMNO-BN terus mendatangkan pelbagai masalah dan membebankan rakyat.

Pada ketika ekonomi semakin suram, harga minyak dan barang semakin meningkat, dan jaringan pengangkutan awam dari pintu ke pintu yang masih tidak lengkap, melarang kapcai memasuki KL adalah dasar yang tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab, dan tidak mempunyai penyelarasan yang baik.

Ia tidak bertanggungjawab kerana dari segi ekonomi dalam negeri, larangan ini akan mendatangkan kesan negatif kepada industri jualan motosikal, di mana lebih 500,000 unit motosikal didaftarkan dengan JPJ setiap tahun.[1]

Jika tidak dilakukan kajian yang menyeluruh, dasar ini bakal mendatangkan kesan negatif kepada perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana yang memerlukan perkhidmatan kurier dan despatch yang rata-rata menggunakan kapcai untuk penghantaran barang secara ekonomi.

Dan dasar ini bakal mendatangkan kesan cukup negatif terutama kepada anak muda dan mereka dari golongan berpendapatan rendah/sederhana yang perlu menggunakan motosikal akibat kelompangan dasar pengangkutan awam darat sedia ada.

Malah kenyataan Tengku Adnan bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Abdul Aziz Kaprawi, yang berkata jika pelepasan karbon menjadi isu utama maka bukan motosikal yang patut dilarang tetapi lori dan bas.[2] Apakah sebenarnya pendirian Putrajaya mengenai isu ini?

Akhir sekali, saya menggesa Tengku Adnan dan DBKL untuk melibatkan orang awam dalam perbincangan (“townhall”) sebelum membuat pengumuman penting yang mendatangkan kesan yang cukup besar kepada kehidupan warga kota KL. Melalui sesi “townhall”, beliau akan terus mendapatkan maklum balas dan reaksi rakyat, dan dengan itu akan mengurangkan jumlah kenyataan yang kurang matang seperti ini di masa hadapan.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

16 Januari 2017

Nota:

[1] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/no-more-kap-chai-bikes-in-kl

[2] http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/01/16/abdul-aziz-have-stricter-rules-on-mcycle-exhaust-systems/