Saya terkejut melihat satu video yang dimuatnaik individu bernama ‘Abu Hafiz Salleh Hudin’ dalam Facebook pada 15 Mei 2019.
Dalam video itu, seorang individu yang dipercayai Dato’ Abibullah Hj Samsudin, Ketua Pengarah YaPEIM, telah memberikan ucapan yang dipercayai bertujuan mempengaruhi staf organisasi tersebut untuk tidak mengundi Pakatan Harapan.
Jika benar, ucapan ini melanggar Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu berkenaan pengaruh tidak wajar:
“9. (1) Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan, atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu untuk mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures, atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindarkan atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada untuk memberikan atau tidak memberikan undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas bersalah atas kesalahan pengaruh tidak wajar.”
Jika didapati bersalah, seseorang itu boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau didenda tidak kurang seribu ringgit dan tidak lebih lima ribu ringgit.
Oleh itu, saya gesa pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera menyiasat ucapan KP YaPEIM ini. Jika wujud pelanggaran undang-undang, maka seharusnya beliau dihadapkan ke mahkamah.
Tindakan cubaan mengenakan pengaruh tidak wajar oleh seseorang yang berkedudukan tinggi terutama terhadap kakitangan organisasi sendiri lebih-lebih lagi agensi kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diterima. Satu mesej jelas perlu dihantar untuk memastikan ia tidak berlaku lagi dalam era Malaysia baharu ini.
Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN
17 Mei 2019