Kejadian Kebocoran Data Terbaru Bukti Malaysia Dalam Krisis Keselamatan Data Peribadi

KENYATAAN MEDIA

Kejadian Kebocoran Data Terbaru Bukti Malaysia Dalam Krisis Keselamatan Data Peribadi

Semalam, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita kebocoran data peribadi. Jika dahulu data peribadi dari syarikat-syarikat telekomunikasi yang dicuri, kali ini dipercayai senarai penderma organ berjumlah lebih 220,000 orang dipercayai dicuri pada September 2016.

Malah mengikut laporan Lowyat.net, dipercayai lebih 440,000 orang terkesan dengan kebocoran data terbaru ini kerana maklumat peribadi orang yang mempunyai hubungan dengan penderma organ juga terdapat dalam set data tersebut. Laporan tersebut turut berkata data ini dipercayai dicuri dari hospital-hospital kerajaan dan Pusat Sumber Transplan Nasional.

Kejadian ini amat merisaukan kerana ia melibatkan maklumat kesihatan dan hubungan peribadi penderma organ. Ini juga merupakan insiden kebocoran data yang keempat, di mana sebelum ini ia melibatkan data dari syarikat telekomunikasi (46.2 juta data peribadi), laman web pekerjaan (17 juta data peribadi), dan beberapa badan perubatan (80,000 data peribadi).

Ini bermaksud hampir 64 juta set data peribadi telah dicuri di Malaysia yang kini diketahui umum, itupun kerana ada pihak seperti Lowyat.net yang melaporkan. Kita tidak tahu apakah ada lagi sistem atau pangkalan data terutama yang diurus badan atau agensi kerajaan yang telah dibolosi.

Teramat jelas Malaysia sedang berhadapan dengan satu krisis keselamatan data peribadi, sama ada yang diurus syarikat swasta mahupun badan kerajaan.

Namun pihak berkuasa khususnya Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) nampaknya tidak proaktif malah kelihatan seperti cuba menenggelamkan isu kebocoran data ini.

Oleh itu, saya menggesa agar DS Salleh Said Keruak dan SKMM segera mengurangkan aktiviti menangkap, merampas peralatan komunikasi dan mendakwa ahli-ahli politik atau orang ramai yang kritikal terhadap pentadbiran DS Najib Razak, dan mempertingkat usaha untuk menangkap dan mendakwa mereka yang telah mencuri dan membocorkan data peribadi kita.

Saya juga menggesa agar DS Salleh memberikan penjelasan status terkini siasatan terhadap insiden kebocoran data syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini. Beliau juga perlu berterus terang sama ada wujud mana-mana kejadian kebocoran data peribadi lain yang belum diketahui umum, terutama yang melibatkan pangkalan data diurus badan kerajaan.

Kebocoran data, jika tidak dihentikan, hanya akan mengurangkan kepercayaan umum terhadap tahap keselamatan pangkalan data sedia ada, sama ada yang diurus pihak swasta mahupun kerajaan. Oleh itu, tindakan segera mesti diambil untuk mengembalikan kepercayaan umum.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

24 Januari 2018