KENYATAAN MEDIA
DAKWAAN RASUAH UBER: TS IRWAN SERIGAR PERLU BERI PENJELASAN, SPRM PERLU SIASAT
Berita yang mengatakan syarikat UBER mungkin telah memberi rasuah di Malaysia adalah suatu yang mengejutkan dan membimbangkan. Ini kerana dakwaan tersebut dikatakan berkait beberapa agensi kerajaan, termasuk Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan didakwa telah memudahkan UBER untuk beroperasi di Malaysia.
Garis masa yang disebut laporan media adalah seperti berikut:
– Ogos 2016: UBER membuat “sumbangan korporat” bernilai ’berpuluh ribu dollar Amerika’ kepada MaGIC.
– 22 September 2016: KWAP telah melabur RM124 juta ke dalam UBER.
– 27 July 2017, Parlimen telah meluluskan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017, yang membenarkan syarikat-syarikat e-hailing termasuk UBER untuk beroperasi secara sah.
Antara mereka yang perlu segera memberikan penjelasan adalah Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah, yang merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Pengerusi MaGIC dan Pengerusi KWAP pada ketika kedua-dua transaksi melibatkan UBER pada 2016 dilapor berlaku.
Pada masa yang sama, oleh kerana isu ini melibatkan syarikat pengangkutan awam darat, agensi kerajaan dan wang tabung persaraan pegawai kerajaan, saya menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera memulakan siasatan.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
21 September 2017