Bila Anwar dan Mahathir Muafakat, Najib Semakin Tenat

Sebelum ini saya pernah berkata bahawa Putrajaya sekarang berada di dalam keadaan panik. Tetapi itu lebih berkait dakwaan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (Department of Justice, DoJ) AS terhadap Jho Low, Riza Aziz dan beberapa individu lain, termasuk dakwaan pembelian rantai berlian bernilai RM 117 juta oleh Jho Low yang dihadiahkan kepada “isteri Malaysian Official 1”.

Malam semalam, kita telah saksikan bagaimana Perdana Menteri Malaysia sendiri sekarang berada di dalam keadaan panik dan terdesak.

Dua hari lepas, rakyat Malaysia malah juga dunia telah menyaksikan beberapa langkah yang boleh dibaca sebagai pengukuhan konsensus di pihak pembangkang. Pertama, berita melaporkan bahawa Nurul Izzah Anwar telah bertemu – atau beraya – dengan Tun Dr Mahathir di London. Kedua, Tun Dr Mahathir di dalam akhbar tersohor The Guardian berkata beliau sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Politik adalah persepsi. Dua laporan berita ini sudah pasti memperlihatkan muafakat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ini menjadi bukti bahawa pergerakan pihak pembangkang semakin teratur hari demi hari, langkah demi langkah. 

Ini membuatkan Dato’ Sri Najib Razak semakin panik dan terdesak kerana nyawa politik beliau semakin tenat. Bukti pertama adalah kenyataan media beliau lewat malam tadi yang diterbitkan hanya di dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Malaysia.


Dalam politik, ini bukan perkara kecil kerana nampaknya ia serupa kenyataan media Setiausaha Akhbar Perdana Menteri pada lewat malam 3 Julai lalu yang juga hanya ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ia mungkin bermakna tujuan kenyataan-kenyataan ini ditulis adalah untuk pembaca yang fasih Bahasa Inggeris. Atau yang menyediakan drafnya adalah orang yang fasih di dalam Bahasa Inggeris.

Berbalik kepada isu Putrajaya panik dan terdesak.

Maka dari sudut pandang ini, amatlah tidak memeranjatkan bila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam mengumumkan bahawa parti DAP perlu mengadakan semula pemilihan parti bagi penggal 2013-2016. Pengumuman ini telah difirasat Setiausaha Akhbar Perdana Menteri pada 3 Julai lalu, di mana telah saya sebut sebelum ini bahawa kenyataan tersebut membayangkan “tangan-tangan ghaib” yang akan mempengaruhi RoS dalam isu ini.

Dan jika DS Najib dalam perenggan ketiga kenyataan tersebut berkata bahawa sebuah Suruhanjaya Di-Raja (RCI) mungkin membawa kepada suatu “pendakwaan jenayah”, maka sama seperti isu RoS-DAP, tidak mustahil perkara yang difirasat DS Najib ini menjadi realiti demi menempangkan pembangkang menuju PRU14.

Tetapi bagi ramai pimpinan yang sudah lama di dalam pembangkang, ugutan-ugutan politik sebegini adalah asam garam perjuangan. Ia hanya menampakkan sikap panik dan terdesak sebuah rejim yang tidak kisah mengenai demokrasi dan hanya mementingkan kelompok sendiri.

Rakyat dapat melihat pimpinan UMNO-BN yang panik dan terdesak ini sekarang dengan terang-terangan menggunakan semua yang ada di tangan mereka untuk membuli pembangkang.

Tapi jangan lupa, rakyat benci pembuli.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

8 Julai 2017