Hari ini Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata bahawa Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) adalah cenderahati Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak kepada negara.
Namun umum sedar bahawa cenderahati paling “besar” DS Najib kepada negara bukannya MRT, tetapi 1MDB. Seperti yang pernah ditulis media antarabangsa sebelum ini, 1MDB yang ditubuh selepas DS Najib dinobat sebagai Perdana Menteri pada 2009 telah menjadi antara skandal kewangan paling besar di dunia.
Di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura siasatan telah dijalankan berkait kegiatan pengubahan wang haram. Malah boleh dikatakan cenderahati 1MDB DS Najib ini juga dihadiahkan kepada seluruh dunia perbankan, apabila institusi-institusi kewangan dari yang kecil hinggalah yang mega terkesan akibat keterlibatan mereka di dalam penyelewengan wang dari 1MDB.
Tetapi cenderahati ini tidak mungkin dijaja dijulang DS Salleh, dan tidak mungkin diraikan kewujudannya dengan pesta 70,000 cucuk satay.
Cenderahati 1MDB DS Najib ini menjadi iktibar kepada dunia perbankan, dan menjadi laungan keramat melawan budaya “Cash is King” dan perompak harta rakyat.
“Anak panah Arjuna” sudah di busur politik. Kini hanya menanti PRU-14 untuk dilepaskan, untuk menewaskan rejim kleptokrat dan menyelamatkan Malaysia.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
17 Julai 2017