Tangkapan AMK Di Pulau Pinang Bukti Najib Tak Hormati Demokrasi

KENYATAAN MEDIA

Tangkapan AMK Di Pulau Pinang Bukti Najib Tak Hormati Demokrasi

Saya kesal menerima berita bahawa 15 anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di Pulau Pinang telah ditangkap selepas mengadakan flashmob di pintu masuk Politeknik Seberang Prai pagi ini.

Tangkapan ini adalah satu tamparan hebat terhadap amalan demokrasi di Malaysia. Ia menjadi bukti bahawa pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak tidak menghormati prinsip demokrasi dan hak bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan, khusus di kalangan anak muda.

Anak-anak muda yang berkumpul ini tidak membaling kerusi, suar mahupun selipar terhadap sesiapa malah hanya memegang plakad secara aman untuk menyatakan pendirian politik mereka. Adakah ini ditakrif pihak berkuasa sebagai satu “ancaman” sehingga perlu menangkap peserta flashmob aman?

Adakah Dato’ Sri Najib dan pentadbiran beliau sudah begitu panik dan takut tentang sentimen rakyat hinggakan peserta flashmob aman juga dilihat sebagai “musuh politik” yang perlu ditahan?

Saya menggesa agar anak-anak muda ini segera dibebaskan, dan Dato’ Sri Najib perlu meminta maaf kepada mereka kerana apa yang mereka buat itu tidak salah malah hanya mengukuh dan mematangkan politik di Malaysia.

Fahmi Fadzil

Pengarah Komunikasi KEADILAN

Naib Ketua AMK

17 Ogos 2017