Salleh Lupa UMNO Selalu Amal Budaya Politik Gangsterisme

Merujuk kepada insiden baling kerusi dan suar di program "Nothing To Hide 2.0" di Shah Alam semalam, hari ini DS Salleh Said Keruak berkata bahawa rakyat Malaysia perlu ambil pengajaran dari insiden tersebut dan mengingatkan "politik gangsterisme bukan budaya politik kita".

Ini adalah satu kenyataan yang sinis dan hipokrit. Apakah DS Salleh telah lupa bahawa pimpinan UMNO lah antara mereka yang selalu mengamalkan budaya politik gangsterisme? Lihat sahaja kejadian serangan terhadap YB Khalid Samad di Parlimen, DS Jamal Yunus dan gerombolan yang membuat kacau di Ampang Point, dan Datuk Armand Azha yang menyerang kumpulan Armada PPBM di PWTC. Malah mereka yang terlibat di dalam dua dari tiga kejadian tersebut telah pun dihadapkan ke mahkamah.

Walaupun DS Salleh dan UMNO mudah lupa, tetapi rakyat Malaysia akan sentiasa ingat siapa yang sebenarnya mengamalkan budaya politik gangsterisme.

Dalam isu budaya politik gangsterisme, DS Salleh dan UMNO perlu cakap serupa bikin. Oleh itu, saya cabar DS Salleh dan UMNO untuk menandatangani satu aku janji bahawa pimpinan dan anggota parti itu menolak sepenuhnya serta tidak akan sekali-kali menggunapakai budaya politik gangsterisme terutama menuju PRU-14.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

14 Ogos 2017