KJ Perlu Pilih antara Polo atau Politik

Hari ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beberapa ahli politik, pada pandangan beliau, perlu tinggalkan pentas politik. Bagi saya, rasional yang beliau berikan adalah salah.

Dalam konteks Malaysia yang merupakan sebuah negara demokrasi yang semakin matang, kayu ukur untuk seseorang itu terus berada di pentas politik seharusnya berdasarkan kebolehan beliau berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara. Maka apabila seseorang ahli politik itu dilihat hanya mementingkan parti atau lebih teruk dari itu nafsu sendiri, atau apabila ahli politik itu memburukkan nama negara atau mencuri, merompak dan menyamun rakyat, maka orang itu lah yang perlu meninggalkan pentas politik.

Itulah sebabnya saya rasakan KJ silap orang. Ahli-ahli politik dan pimpinan pembangkang bukanlah yang terlibat di dalam skandal kewangan antarabangsa, atau membolehkan harga saham FGV merudum, atau mewujudkan keadaan di mana berbilion ringgit didakwa diseleweng dari Jabatan Air Sabah. Banyak lagi yang boleh saya sebut di sini. Mereka yang inilah yang sepatutnya KJ minta untuk tinggalkan pentas politik, demi Malaysia yang lebih baik.

Oleh itu saya percaya sudah tiba masanya untuk KJ, yang belum mengeluarkan sepatah perkataan mengenai skandal 1MDB terkini mahupun menggerakkan Pemuda UMNO untuk melakukan protes besar-besaran terhadap kes sivil DoJ yang “berbaur politik” bak kata Peguam Negara, untuk memikir semula bidang kerjaya beliau.

KJ perlu pilih sama ada untuk menjadi seorang pemimpin politik yang mampu membawa perubahan yang diharap rakyat, atau tinggalkan pentas politik dan memberi fokus kepada kerjaya sukan polo beliau. Bukan senang nak jadi anggota pasukan polo kebangsaan yang akan bertanding dalam Sukan SEA, dan beliau seharusnya memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan kemenangan Malaysia bulan Ogos nanti.

Jadi, KJ, yang mana satu akan jadi pilihanmu?
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

9 Julai 2017