KENYATAAN MEDIA
Jika Benar Saman DoJ Bersifat Politik, Esok Kabinet Perlu Umum Tindakan Diplomatik Terhadap AS
Kenyataan Peguam Negara TS Apandi Ali hari ini yang merumuskan bahawa tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat adalah bersifat politik adalah satu kenyataan yang cukup serius.
Saya yakin Peguam Negara mempunyai maklumat yang lengkap mengenai isu 1MDB ini – termasuk laporan Ketua Audit Negara yang masih dirahsiakan, serta pasukan siasatan khas PDRM terhadap isu 1MDB ini – untuk membuat rumusan sedemikian.
Oleh itu, Peguam Negara perlu menasihatkan Perdana Menteri untuk segera menerbitkan laporan Ketua Audit Negara tersebut agar orang ramai akan dapat memahami isu 1MDB dan saman DoJ, dan tidak meragui kenyataan yang dibuat Peguam Negara ini.
Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia juga tidak boleh bertolak ansur terhadap tindakan mana-mana kuasa asing terutama yang bersifat politik dengan niat mencampuri urusan dalaman negara.
Oleh itu, dalam mesyuarat kabinet esok, Perdana Menteri Najib Razak serta jemaah menteri perlu membincangkan kenyataan Peguam Negara ini dan segera mengumumkan tindakan diplomatik yang tegas terhadap Amerika Syarikat demi mempertahan martabat dan kedaulatan negara, termasuk dengan memanggil Duta Besar AS ke Malaysia untuk memberi penjelasan, serta mengarahkan Duta Besar Malaysia ke AS untuk pulang segera ke Malaysia.
Saya juga mengingatkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bahawa jika benar wujud usaha kuasa asing seperti AS yang ingin mencampuri urusan dalaman negara maka Pemuda UMNO perlu segera mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan AS sebagai tanda protes.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
27 Jun 2017