Gabungan EcoWorld-UEM Sunrise: Selamatkan Rakyat, Bukan Syarikat Swasta

KENYATAAN MEDIA

11 Oktober 2020

GABUNGAN ECOWORLD-UEM SUNRISE: SELAMATKAN RAKYAT, BUKAN SYARIKAT SWASTA

Saya meneliti berita dan perbincangan hangat berkenaan cadangan penggabungan dua syarikat hartanah besar UEM Sunrise dan EcoWorld melalui kaedah penukaran saham yang dianggar bernilai RM2.6 bilion.

Seperti yang umum sedia maklum, UEM Sunrise adalah anak syarikat UEM Group yang dimiliki sepenuhnya Khazanah Nasional Bhd, manakala EcoWorld dimiliki beberapa individu dan entiti termasuk ahli perniagaan Tan Sri Liew Kee Sin.

Pada ketika rakyat menderita akibat gelombang ketiga COVID-19 dan ekonomi yang suram, tindakan meneruskan penggabungan dua syarikat ini memberi gambaran yang buruk di mana ia akan dilihat sebagai usaha menyelamatkan (bail-out) sebuah syarikat swasta menggunakan harta rakyat.

Setakat hari ini, nilai saham EcoWorld telah merudum ke RM0.39 berbanding RM1.40 lima tahun lalu. Keadaan hutang dan aliran tunai EcoWorld juga amat membimbangkan. Jika diteruskan, tidak mustahil Khazanah dilihat sebagai ‘penyelamat’ EcoWorld apabila terpaksa memberi suntikan dana yang besar, lebih-lebih lagi apabila kita diingatkan bahawa pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang sudah pasti lemah.

Tambahan pula, beberapa penganalisa telah menyatakan jika diteruskan, pegangan saham Khazanah Nasional dalam UEM Sunrise akan berkurangan dari 66% kepada 43%, dan kehilangan kawalan ini adalah satu bentuk kerugian kepada rakyat.

Ada juga penganalisa yang menyatakan EcoWorld bukan rakan yang paling sesuai untuk bergabung dengan UEM Sunrise. Jika benar dan hujah ini ada meritnya, maka perkara ini perlu dilihat semula oleh Khazanah Nasional.

Maka, dalam keadaan ekonomi yang belum pulih dan 745,000 warga Malaysia hilang kerja setakat Julai 2020, Kerajaan melalui Khazanah Nasional tidak perlu terburu-buru dan wajib pertimbang semula kewajaran meneruskan penggabungan ini. Kerajaan perlu berusaha lebih gigih untuk selamatkan rakyat, bukan syarikat swasta.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN