Beberapa hari lalu, selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil ketiga untuk merampas harta bernilai USD1.6 bilion yang didakwa dibeli dengan wang diseleweng dari dana 1MDB, peguam bagi DS Rosmah Mansor telah mengeluarkan kenyataan bahawa DS Rosmah akan menyaman mereka yang didapati memfitnah beliau dalam laman web dan media sosial.
Untuk mempercepat kerja-kerja firma guaman yang dilantik DS Rosmah, saya telah kenalpasti 7 tweet dan website yang dengan jelas cuba mengaitkan isteri PM dengan skandal penyelewengan 1MDB – walaupun filing DoJ itu tidak menamakan siapa itu “wife of Malaysian Official 1”. Dakwaan yang dibuat adalah berkait pembelian rantai berlian merah jambu bernilai USD27.3 juta oleh individu bernama Jho Low yang mana berlian itu kemudiannya dihadiahkan kepada DS Rosmah.
(Klik gambar untuk pautan penuh tweet/website.)
1) Twitter AJ+
2) Twitter Tom Wright (Wall Street Journal)
4) Twitter Bradley Hope (Wall Street Journal)
5) Laman web The New York Times (US)
6) Laman web The Guardian (UK)
7) Laman web The Straits Times (Singapura)
Jika apa yang ditulis dalam tweet dan laman web di atas adalah fitnah semata-mata, saya menggesa peguam DS Rosmah untuk segera menghubungi pengendali-pengendali akaun Twitter dan laman-laman web ini untuk mendesak mereka memperbetul berita atau tweet mereka.
Ini penting kerana kesemua akaun Twitter dan laman-laman web yang dipetik di atas merupakan “influencer” yang berpengaruh, bersifat antarabangsa/international, berkredibiliti dan diikuti ramai; orang ramai yang membaca tulisan mereka berkemungkinan tinggi akan mempercayai bahawa tulisan-tulisan tersebut adalah berasaskan fakta dan adalah benar. Penafian semata-mata tidak memadai, malah hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa ada kebenaran disebalik dakwaan-dakwaan yang dibuat di dalam filing DoJ itu.
Mungkin langkah yang lebih efektif daripada itu ialah dengan Peguam Negara menghantar delegasi untuk memberi kerjasama penuh ke dalam kes yang dibawa DoJ ini, atau dengan Peguam Negara membuka semula kes 1MDB dan membawa kes tersebut ke mahkamah di Malaysia.
Pada masa yang sama, saya terpanggil untuk mengingatkan peguam Perdana Menteri DS Najib Razak bahawa pada 5 Julai 2015 DS Najib pernah berkata beliau akan menyaman Wall Street Journal di atas laporan berkenaan dakwaan saluran wang hampir USD700 juta dari 1MDB ke dalam akaun peribadi beliau, namun hingga hari ini beliau masih belum melakukan sedemikian. Sama seperti isu di atas, peguam DS Najib perlu segera menyaman WSJ; jika tidak, persepsi bahawa dakwaan itu adalah berasas akan terus mengukuh.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
19 Jun 2017