KENYATAAN MEDIA
DATUK BANDAR, KL LEBIH DARI TTDI & BANGSAR
Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, yang berkata penduduk Kuala Lumpur bersetuju dengan kenaikan caj parkir, tetapi beliau menjelaskan bahawa ini berdasar maklumbalas yang beliau terima dari warga Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).[1]
Datuk Bandar, Kuala Lumpur ini lebih dari hanya Bangsar dan TTDI. Bagaimana pula pendapat penduduk di Jinjang, di Taman Seri Sentosa, di Taman OUG, di Keramat Wangsa, di Taman Dato Senu, di Danau Kota, dan begitu banyak lagi kawasan di Kuala Lumpur? Apakah Datuk Bandar juga mendapat maklumbalas serupa dari semua penduduk?
Inilah sebabnya saya dari awal menggesa agar pihak DBKL mengadakan sesi pertemuan dengan rakyat (townhall), agar suara rakyat yang tinggal di pelbagai kawasan di Kuala Lumpur dapat didengar dan diambil kira dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar.
Malangnya, hingga ke hari ini saya tidak dapat melihat komitmen pihak DBKL dalam melaksanakan langkah reformasi institusi seperti ini.
Penggubalan dasar yang mendatangkan kesan besar kepada rakyat tidak patut dibuat hanya berasaskan maklumbalas hanya satu dua komuniti atau secara ‘tangkap muat’. Ia sepatutnya dibuat berasaskan data dan bukti (data-driven and evidence-based policymaking) dengan proses rundingan dengan orang ramai.
Oleh itu, saya menggesa Datuk Bandar dan pihak DBKL untuk mengumumkan pemberhentian sementara (moratorium) kenaikan caj parkir yang baharu sehingga pihak DBKL dapat melaksana siri pertemuan dengan rakyat untuk mendapat maklum balas tersebut.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
22 September 2016
Nota: