KENYATAAN MEDIA
8 November 2020
Batalkan Cadangan Wujud Semula JASA, Guna Wang Rakyat Dengan Lebih Bermanfaat
Saya meneliti kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini yang memberi alasan lemah mengapa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) perlu diwujudkan semula selepas ia ditutup pada 2018. Seluruh Malaysia tahu bahawa JASA adalah unit propaganda politik parti pemerintah, yang pada satu ketika dahulu sering diguna untuk menyerang pihak pembangkang dengan menggunakan wang rakyat.
Sememangnya dana berjumlah RM85.5 juta di dalam Belanjawan 2021 – RM4 juta di bawah butiran 021000 Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, dan RM81.5 juta di bawah butiran 050100 Perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Dasar Baru – bukanlah jumlah yang kecil.
Sebagai perbandingan, jumlah ini boleh diguna untuk membina dua Klinik Kesihatan (Jenis 2) yang dilengkapi peralatan perubatan terkini dan mampu memberi khidmat kepada 500-800 pengunjung setiap hari.
Atau ia boleh diguna untuk membina 3 bangunan sekolah dengan 24 bilik darjah setiap satu.
Atau ia boleh dimasukkan ke dalam Tabung CERDIK, di mana jumlah ini mampu membeli 85 ribu komputer riba tambahan untuk begitu ramai pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Dan banyak lagi.
Dari sudut yang berbeza, fungsi JASA sebenarnya bertindih dengan pelbagai agensi sedia ada, termasuk Jabatan Penerangan, RTM, BERNAMA, BERNAMA TV, Komunikasi Strategik (StratCom) malah juga Unit Komunikasi Korporat Kementerian-Kementerian. Kenapa tidak dibelanjakan sahaja RM85.5 juta ini untuk membeli peralatan baru, menambah perjawatan dan memperkukuh badan-badan dan agensi-agensi sedia ada ini?
Atau adakah Perikatan Nasional sebenarnya berkata bahawa agensi-agensi yang lain ini – yang diberi lebih daripada RM731 juta dalam Belanjawan 2021 – tidak mampu atau gagal melaksanakan tugas menyampaikan maklumat hingga ke akar umbi?
Oleh itu, sekiranya Kerajaan benar-benar memahami keresahan rakyat termasuk di kalangan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang berkenaan isu JASA ini, YB Menteri Komunikasi dan Multimedia serta YB Menteri Kewangan perlu membatalkan cadangan mewujudkan semula JASA. Belanjawan 2021 juga perlu dipinda dengan mengagihkan dana berjumlah RM85.5 juta ini sama ada kepada program-program dan agensi-agensi penerangan dan komunikasi sedia ada, atau dibelanjakan untuk program-program yang lebih bermanfaat kepada rakyat.
Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya