Apakah SPRM Bebas Untuk Saring ‘Bos’ Mereka Sendiri?

KENYATAAN MEDIA

APAKAH SPRM BEBAS UNTUK SARING ‘BOS’ MEREKA SENDIRI?

Bernama melaporkan semalam bahawa Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Sri Najib Razak telah menyerahkan sebahagian dari senarai nama-nama calon BN untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah berkata bahawa tiada paksaan buat mana-mana parti politik untuk menyerahkan nama bakal calon kepada SPRM, namun timbul beberapa persoalan yang perlu dijawab SPRM untuk mengelak timbulnya persepsi salah tentang isu ini.

Umum sedia maklum bahawa SPRM berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Memandangkan Pengerusi BN juga merupakan YAB Perdana Menteri, dan Pengerusi BN mempunyai kepentingan jelas di dalam PRU14, apakah SPRM cukup bebas untuk mengendalikan proses saringan terhadap ‘bos’ mereka sendiri sekiranya nama beliau termasuk di dalam senarai calon yang diserah kepada SPRM?

Walaupun SPRM pernah berkata ia tidak melapor sebarang siasatan kes rasuah kepada JPM, kedudukan SPRM di bawah JPM terutama dalam isu saringan calon-calon pilihanraya cukup menyukarkan keadaan kerana umum pasti memiliki persepsi tentang struktur organisasi dan ketua organisasi tersebut.

Tambahan pula, pada 27 September lalu, Ketua Pembangkang dan pimpinan Pakatan Harapan telah membongkarkan nilai kompaun RM115.8 juta yang dikenakan Bank Negara terhadap entiti-entiti berkait skandal mega 1MDB kerana melanggar undang-undang. Umum perlu ingat bahawa YAB Perdana Menteri turut terkait di dalam isu kompaun terhadap entiti-entiti 1MDB ini, memandangkan Artikel 117 Memorandum & Artikel Pertubuhan 1MDB pada ketika itu menetapkan bahawa Perdana Menteri perlu memberi kebenaran bertulis untuk sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan).

Ini bermaksud SPRM mungkin perlu membuka semula siasatan terhadap 1MDB, yang mungkin menimbulkan konflik kepentingan (‘conflict of interest’) terutama di dalam isu proses saringan calon PRU14.

Oleh itu, saya berharap pihak SPRM akan memberi penjelasan tentang isu di atas, kerana proses saringan tidak wajib SPRM ini tidak harus dijadikan “proses pemutihan calon” yang mungkin terlibat dengan pelbagai skandal yang diketahui umum.

Secara idealnya, sebarang proses saringan calon perlu dilakukan sebuah badan yang tiada kaitan langsung dengan pihak eksekutif yakni kerajaan. Malah demi menjamin demokrasi yang lebih baik, SPRM perlu dibebaskan dari JPM agar ia menjadi sebuah badan pencegahan rasuah yang benar-benar bebas dari sebarang tekanan politik atau konflik kepentingan.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

30 September 2017