KENYATAAN MEDIA
1MDB: Siapa Penipu – DoJ atau Peguam Negara?
Rakyat Malaysia dan dunia dikejutkan sekali lagi dengan pemfailan ketiga Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terhadap syarikat 1MDB, di mana sejumlah wang besar telah didakwa diseleweng melalui syarikat tersebut kepada beberapa individu termasuk Jho Low untuk membeli aset, berlian, malah juga didakwa disalur ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak.
Pada masa yang sama, saya percaya ramai juga terkejut dengan respon yang diberi oleh Peguam Negara, TS Mohamed Apandi Ali, dan Setiausaha Akhbar PM, Datuk Tengku Sariffuddin terhadap pemfailan terkini DoJ ini, lebih-lebih lagi kerana penafian-penafian tersebut hanyalah ulangan apa yang telah disebut sebelum ini.
Sekiranya apa yang dikata TS Apandi benar, iaitu tidak wujud sebarang unsur jenayah dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat 1MDB seperti yang didakwa dalam kes DoJ itu, maka pemfailan DoJ itu adalah palsu semata-mata. Oleh itu, Putrajaya dan Wisma Putra tidak patut membenarkan nama baik negara dan jawatan Perdana Menteri diheret dan dipalit sebegini rupa dan perlu segera memanggil duta besar Amerika Syarikat untuk memberi penjelasan.
Pada masa yang sama, Pemuda UMNO diketuai YB Khairy Jamaluddin perlu segera mengadakan demonstrasi mega di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat serta melancarkan boikot besar-besaran terhadap produk dan perkhidmatan dari Amerika Syarikat sebagai tanda protes parti itu terhadap “motif terselindung” DoJ, seperti yang dibayangkan Tengku Sariffuddin.
Akan tetapi, jika apa yang dikatakan DoJ itu tidak benar, mengapa kes-kes yang dibawa ke mahkamah di beberapa negara termasuk Switzerland dan Singapura telah menampakkan individu-individu yang terlibat dalam pengurusan perbankan termasuk transaksi kewangan 1MDB didapati bersalah, malah di Singapura dua di antara mereka diharamkan dari terlibat dalam aktiviti perbankan seumur hidup oleh Monetary Authority of Singapore.[1]
Jadi di sini rakyat Malaysia berhadapan dengan dua senario iaitu sama ada DoJ tidak berkata benar, atau Peguam Negara dan Setiausaha Akhbar PM tidak berkata benar. Kedua-duanya mempunyai implikasi atau kesan serius terhadap politik dan sistem perbankan dalam negara dan di peringkat dunia.
Maka, oleh kerana ini kali ketiga DoJ membuat pemfailan kes ini, saya menggesa Peguam Negara untuk tidak lagi berdolak-dalih dan segera menghantar delegasi untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak DoJ untuk membuktikan di mahkamah kebenaran atau kepalsuan dakwaan penyelewengan wang oleh 1MDB ini.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
16 Jun 2017
Nota:
1. http://www.theedgemarkets.com.sg/article/mas-slaps-lifetime-ban-two-ex-bankers-linked-1mdb-transactions