104 “Selasa Depan” Sudah Berlalu, Tapi WSJ Masih Belum Disaman

Hari ini genaplah dua tahun sejak Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak mengumumkan bahawa beliau akan menyaman akhbar antarabangsa Wall Street Journal “Selasa depan”. 

Ini bermakna 104 “Selasa depan” telah berlalu tanpa tindakan saman terhadap WSJ oleh Perdana Menteri.
Sejak pengumuman bersejarah dua tahun lalu itu, bukan sahaja DS Najib masih menantikan “Selasa depan” untuk menyaman WSJ, malah para netizen juga masih menantikan tindakan Datin Seri Rosmah Mansor menyaman tujuh laman web dan akaun Twitter yang mendakwa beliau menerima rantai berlian bernilai RM117 juta dihadiahkan oleh Jho Low.

Umum sedar bahawa pengumuman tindakan saman oleh DS Najib dan isteri beliau berkait dakwaan-dakwaan yang cukup besar, iaitu mengenai wang yang diseleweng dari 1MDB yang didakwa telah disalur ke dalam akaun DS Najib, dan juga didakwa diguna untuk membeli hadiah barang kemas buat DS Rosmah.

Berapa banyak “Selasa depan” lagi yang perlu rakyat Malaysia tunggu sebelum DS Najib saman WSJ?

Kerana, jika selepas 104 “Selasa depan” pun masih tidak saman, maka persepsi di kalangan orang ramai terhadap dakwaan-dakwaan ini hanya akan mengukuh.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

5 Julai 2017